Pages

17 December 2011

Kasut Ajaib.

Petang itu hujan renyai-renyai dan hampir berhenti. Shah Alam seperti biasa, tidak pernah lengang dengan kesibukan. Johny (bukan nama sebenar) juga tergolong dalam simbiosis yang menghidupkan kota besar Shah Alam ini.

Pulang dari kerja, Johny tidak berfikir banyak. Makan nasi sudah terpahat di senarai tertinggi to-do-listnya usai dia sampai nanti. Harry pula sudah menjadi prospek tetapnya sedari dulu sebagai teman makan bersama. Paling tidak pun minum air sahaja. Sebab kadang-kadang Harry sudah makan awal. Memang la gila kalau cerita makan tengahari pukul 7 malam. Tapi kalau dah namanya rebel, segala perkara yang berunsur Pavilion seperti makan makanan seimbang dan tepat pada waktunya tidak pernah tercatat dalam kamus hidup mereka.

Dipendekkan cerita, Johny sampai di kedai milik Harry iaitu Askar CondomShop, sebuah kedai menjual...papan selaju. Kebetulan kedai Harry ini hanya di hujung jari rumah Johny sahaja. Jadi segala kebajikan Harry dapatlah dijaga oleh Johny. Begitu juga sebaliknya.

Johny duduk di depan kedai. Sebatang rokok dinyalakan dengan pemetik api nyalaan biru tanda kemenangan kerana hari ini dia sampai agak awal. Api menyambar hujung batang rokok. Perlahan-lahan ia terbakar dan gumpal-gumpal asap bertebaran di angkasaraya. Telefon bimbit diketik-ketik sambil tersenyum sendirian melayan fesbuk. Sambil itu dia berbual-bual kosong dengan Harry yang turut duduk menghisap rokok di situ. Hal yang diperkatakan tentulah tentang pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi. Selain itu, kesan buruk penipisan lapisan ozon kepada masyarakat juga turut diselitkan. Itu belum masuk hal Rosmah lagi. Baru masuk intro, seekor anak kucing mengganggu fokus Johny yang sedang hangat berdebat dengan Harry sebentar tadi. Harry dibiarkan terpinga-pinga dan Johny mengalihkan kasih sayangnya kepada kucing tersebut. Anak kucing yang bagaikan mendapat duit terpijak Bantuan Rakyat 1 Malaysia itu terus menjadikan peha Johny sebagai port melepak terbarunya selain Pavi, Midvalley dan KLCC sebelum ini.

Matahari perlahan-lahan jatuh ke arah barat menandakan hampir masuknya waktu maghrib bagi mereka yang mengerti. Walaupun Johny pada mulanya ingin menjadikan anak kucing tersebut sebagai prioriti, dia akhirnya membuat kesimpulan bahawa kucing itu hanyalah duniawi setelah merasakan ia sudah berada di kedudukan selesa. Tidak guna diberikan perhatian jika tidak memberi sebarang manfaat kepada dunia sejagat.

Kucing itu diletak di lantai dan Johny masuk ke dalam kedai untuk meletakkan beg. Perut yang lapar mesti diisi, sekarang juga. Johny keluar dari kedai dan melihat anak kucing tadi masih di tempat sama sambil senyum nipis. Dengan gaya seorang pemain bola sepak import, Johny cuba bergurau dengan kucing tersebut. Dia menghayun kakinya laksana mengambil sepakan percuma ke arah kucing tadi. Namun apa yang terjadi seterusnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Ah, malas la aku nak sambung. Tak lawak langsung.