Pages

07 August 2012

Idrus, You Go Girl!


            Di antara banyak-banyak malam, malam ini yang dirasakan Idrus paling sunyi sekali. Hendak berbual, kawannya semua tiada.

Tapa balik kampung, Ayob bercengkarama entah di mana. Akhirnya dia mati kutu sendiri. Paling menyakitkan hati, rokoknya habis dan memang dia malas hendak turun dari tingkat atas sekali itu semata-mata untuk membeli rokok.

Idrus berbaring di depan TV. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang kepala. Sejak mengenal internet dan terlibat dengan perhimpunan Bersih 3.0 dek termakan racun Tapa yang anti-establishment, Idrus mula sedar, berita di TV hanyalah medium kerajaan untuk menembus kepala otak manusia-manusia dangkal pemikiran agar mempercayai 100 % apa yang disiarkan.

Tapi Idrus tidak seperti dulu. Idrus kini lebih bijak membuat pilihan.

Idrus resah dan meluat menonton kebobrokan kerajaan menghamburkan buletin-buletin palsu dan cuba ‘bermain tuhan’ dengan rakyat jelata agar menurut sahaja apa yang disampaikan mereka sehari-hari.
Matanya penat, telinganya bernanah.

Perlahan-lahan tangan kanannya menjalar mencari remote.

Tak jumpa!

Idrus mengengsot ke depan. Mendekatkan badannya dengan TV. Kakinya dijulur ke depan dan ibu jari kakinya diarah ke butang tukar siaran.

Ah! Tertekan butang volume pula! Makin bingit telinganya. Dia mencuba sekali lagi.

Bagus! Tertekan butang AV pula. Skrin bertukar biru.

Sekarang tulang belakangnya sudah sakit. Kakinya sudah kejang. Dia mencuba sekali lagi.

“Ssssssssssshhhshhhhhshsh!!!”

Kau pernah tengok tak skrin TV yang selalu orang gelarkan ‘semut main bola?’

Idrus benar-benar marah. Spirit of rebel semakin memuncak. Dia bangun dan mengangkat TV saiz 21 inci itu hingga tercabut wayar plag dan aerialnya. Dia memandang kiri dan kanan.

“Arghhh!!!”

“Pranggg!!!”

“Wiwiwiwiwiwiwiwiwiwiwiwi!”

Idrus berkeringat deras. TV 21 inci tadi kini di atas bumbung sebuah kereta Proton Wira yang diparkir di laman rumah flat tersebut. Remuk. Tingkap rumah Idrus pula berkecai.

Seekor kucing hitam datang entah dari mana. Menggesel manja keting Idrus yang sedang marah. Sekonyong-konyong tubuh Idrus bertukar hijau. Idrus menggayakan dirinya umpama Pirlo, bintang bola sepak dari Itali. Dengan satu tendangan percuma, kucing tersebut kini di atas loteng. Berdarah dan melekat di dinding, tak ubah seperti sebuah perhiasan kulit yang diimport dari Afrika.

Keadaan kembali tenang. Bunyi bising penggera kereta Proton Wira tadi juga sudah hilang. Sayup-sayup kedengaran riuh rendah di kawasan parkir.

Idrus mencari telefon bimbitnya dan terus mendail nombor telefon Salleh JPJ.

“Leh, lu ada mana?”

“Gua kat port. Pekena kopi jantan.”

“Gua nak loan lu sikit. Duit durian runtuh bahagian lu dah keluar, kan? Esok lusa bonus raya gua keluar, gua bayar lu balik.”

“OK. Lu datang sini sekarang.”

Idrus letak telefon. Hatinya lega. Dia mengenakan tuala dan menanggalkan boxer perlahan-lahan dari celah tuala. Jatuh sahaja boxer di lantai, dia menyepitnya dengan kedua ibu jari dan telunjuk kaki dan disodok naik ke atas. Dengan tenang dan senyum nipis dia menyambut boxer tersebut lantas dibenam ke dalam baldi kain kotor.

Sambil menyanyikan lagu Fikirkan Boleh versi high pitch, Idrus berlenggang ke bilik air.

Malam semakin kelam. Cengkerik dan unggas mula bermain biola. Waktu-waktu selepas hujan begini, kelingkiak juga bernyanyi riang merai kehidupan. Kota metropolitan ini terus bingit. Cahaya dan bunyi berlumba-lumba untuk terus berada di depan.