Di
antara banyak-banyak malam, malam ini yang dirasakan Idrus paling sunyi sekali.
Hendak berbual, kawannya semua tiada.
Tapa
balik kampung, Ayob bercengkarama entah di mana. Akhirnya dia mati kutu
sendiri. Paling menyakitkan hati, rokoknya habis dan memang dia malas hendak
turun dari tingkat atas sekali itu semata-mata untuk membeli rokok.
Idrus
berbaring di depan TV. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang kepala. Sejak
mengenal internet dan terlibat dengan perhimpunan Bersih 3.0 dek termakan racun
Tapa yang anti-establishment, Idrus mula sedar, berita di TV hanyalah medium
kerajaan untuk menembus kepala otak manusia-manusia dangkal pemikiran agar
mempercayai 100 % apa yang disiarkan.
Tapi
Idrus tidak seperti dulu. Idrus kini lebih bijak membuat pilihan.
Idrus
resah dan meluat menonton kebobrokan kerajaan menghamburkan buletin-buletin
palsu dan cuba ‘bermain tuhan’ dengan rakyat jelata agar menurut sahaja apa
yang disampaikan mereka sehari-hari.
Matanya
penat, telinganya bernanah.
Perlahan-lahan
tangan kanannya menjalar mencari remote.
Tak
jumpa!
Idrus
mengengsot ke depan. Mendekatkan badannya dengan TV. Kakinya dijulur ke depan
dan ibu jari kakinya diarah ke butang tukar siaran.
Ah!
Tertekan butang volume pula! Makin bingit telinganya. Dia mencuba sekali lagi.
Bagus!
Tertekan butang AV pula. Skrin bertukar biru.
Sekarang
tulang belakangnya sudah sakit. Kakinya sudah kejang. Dia mencuba sekali lagi.
“Ssssssssssshhhshhhhhshsh!!!”
Kau
pernah tengok tak skrin TV yang selalu orang gelarkan ‘semut main bola?’
Idrus
benar-benar marah. Spirit of rebel semakin memuncak. Dia bangun dan mengangkat
TV saiz 21 inci itu hingga tercabut wayar plag dan aerialnya. Dia memandang
kiri dan kanan.
“Arghhh!!!”
“Pranggg!!!”
“Wiwiwiwiwiwiwiwiwiwiwiwi!”
Idrus
berkeringat deras. TV 21 inci tadi kini di atas bumbung sebuah kereta Proton
Wira yang diparkir di laman rumah flat tersebut. Remuk. Tingkap rumah Idrus
pula berkecai.
Seekor
kucing hitam datang entah dari mana. Menggesel manja keting Idrus yang sedang
marah. Sekonyong-konyong tubuh Idrus bertukar hijau. Idrus menggayakan dirinya
umpama Pirlo, bintang bola sepak dari Itali. Dengan satu tendangan percuma,
kucing tersebut kini di atas loteng. Berdarah dan melekat di dinding, tak ubah
seperti sebuah perhiasan kulit yang diimport dari Afrika.
Keadaan
kembali tenang. Bunyi bising penggera kereta Proton Wira tadi juga sudah
hilang. Sayup-sayup kedengaran riuh rendah di kawasan parkir.
Idrus
mencari telefon bimbitnya dan terus mendail nombor telefon Salleh JPJ.
“Leh,
lu ada mana?”
“Gua
kat port. Pekena kopi jantan.”
“Gua
nak loan lu sikit. Duit durian runtuh bahagian lu dah keluar, kan? Esok lusa
bonus raya gua keluar, gua bayar lu balik.”
“OK.
Lu datang sini sekarang.”
Idrus
letak telefon. Hatinya lega. Dia mengenakan tuala dan menanggalkan boxer
perlahan-lahan dari celah tuala. Jatuh sahaja boxer di lantai, dia menyepitnya
dengan kedua ibu jari dan telunjuk kaki dan disodok naik ke atas. Dengan tenang
dan senyum nipis dia menyambut boxer tersebut lantas dibenam ke dalam baldi
kain kotor.
Sambil
menyanyikan lagu Fikirkan Boleh versi high pitch, Idrus berlenggang ke bilik
air.
Malam
semakin kelam. Cengkerik dan unggas mula bermain biola. Waktu-waktu selepas
hujan begini, kelingkiak juga bernyanyi riang merai kehidupan. Kota metropolitan
ini terus bingit. Cahaya dan bunyi berlumba-lumba untuk terus berada di depan.